Sekali imbas jika melihat deretan rumah
tradisional Melayu Melaka di kampung itu, tiada siapa menyangka terdapat sebuah
rumah yang masih menyimpan khazanah Melayu Melaka yang berusia lebih setengah
abad.
ORANG RAMAI dan pelancong menyusuri Sungai Melaka dengan bot River Cruise
Khazanah
itu tersimpan di Villa Sentosa, dan tidak lengkap lawatan pelancong ke kampung
ini, jika tidak singgah di Villa Sentosa.
Villa Sentosa yang terletak di pinggir Sungai
Melaka dibina oleh Othman ketika beliau membuka kampung berkenaan pada tahun
1920.
Kini, setelah sembilan generasinya menduduki kediaman
tersebut, ia masih lagi mengekalkan tradisi yang ditinggalkan dan penghuninya
terus menjaga warisan berkenaan.
Villa Sentosa juga dikenali sebagai The
Living Museum. Rumah itu diubahsuai menjadi muzium peribadi dan dirasmikan
pembukaannya pada 11 Disember 1991. Villa Sentosa kini diuruskan oleh waris
generasi itu, Abdul Rahim Hashim, 58.
Abdul Rahim berkata, Villa Sentosa memiliki reka
bentuk rumah yang unik dan menghimpunkan pelbagai bahan sejarah seperti pakaian
tradisional Melayu, alat muzik tradisional serta perabot antik.
Pengunjung juga berpeluang mengenali generasi
Hashim Abdul Ghani iaitu bapa Abdul Rahim melalui gambar keluarga yang
digantung di dalam bilik pengantin.
Menurut Abdul Rahim, bilik berkenaan digunakan
untuk majlis perkahwinan oleh waris keluarganya. Di ruang hadapan Villa Sentosa
tergantung sebuah lakaran carta salasilah keluarga sembilan generasi itu.
Selain itu, 14 tingkap di dalam villa berkenaan
membolehkan udara segar sentiasa masuk sehingga kipas angin atau pendingin hawa
tidak diperlukan.
RUMAH milik Abdul Rahim Hashim di Kampung Morten dijadikan muzium
Villa tersebut juga menyajikan himpunan piring
hitam era 50-an, selain pameran senjata tradisional seperti tekpi yang berusia
100 tahun, pinggan mangkuk berusia 100 tahun dari China, England, Itali dan
Perancis.
"Dalam usaha mempromosi Villa Sentosa, kami
turut mengadakan persembahan kebudayaan, nyanyian dondang sayang dan joget
lambak.
"Persembahan ini diadakan sekali setiap
bulan," kata Abdul Rahim. Beliau berkata, pengunjung tidak dikenakan
sebarang bayaran dan anggota keluarganya juga bersedia memberi penerangan
kepada pengunjung.
"Kami tidak mengenakan apa-apa bayaran,
memadai dengan menderma untuk tabung keluarga ini bagi membantu kami membaiki
dan menaik taraf Villa Sentosa," katanya.
Villa Sentosa dibuka kepada pengunjung pada
setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali Jumaat dibuka pada
pukul 2 hingga 6 petang. - Bernama
Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my
********************************************************************************************
Rumah Tradisional Bukit
Palah
RUMAH
Tradisional Bukit Palah kini menjadi tarikan pelancong dalam dan
luar negara yang ingin melihat keunikan rumah tradisional Melaka.
MELAKA 26 Nov. - Selain tempat bersejarah di
Banda Hilir yang menjadi destinasi mesti lawat bagi pelancong ke Melaka,
rumah-rumah kampung tradisional Melayu yang indah dan unik di negeri ini juga
merupakan produk pelancongan yang menarik untuk dilawati.
Kebersihan dan keindahan rumah tradisional yang
mempunyai landskap yang menarik menjadikannya tarikan kepada pelancong,
khususnya bagi mereka yang cintakan keindahan seni bina Melayu lama.
Salah satunya yang lebih menyerlah adalah rumah
tradisional Melayu Bukit Palah yang menjangkau usia 90 tahun, kini dihuni oleh
pewaris yang terdiri daripada anak-anak pemilik asalnya, Hamid Sidek dan Hasnah
Hasan.
Selain landskapnya yang menarik dan bersih,
keunikan rumah tradisional Melayu Bukit Palah ini ialah kerana ia masih
mengekalkan ciri-ciri seni bina rumah tradisional dengan atapnya yang tinggi
dan bertangga batu.
Menurut salah seorang anak pasangan itu, A.
Rahman Hamid, 55, biarpun masa telah berubah dan kedua-dua ibu bapanya
telah meninggal dunia, namun kesemua mereka sembilan beradik telah diberi
amanat agar sentiasa memelihara nilai asli rumah pusaka mereka itu.
''Arwah bapa yang bersungguh-sungguh ingin
menjadikan rumah ini sebagai rumah tradisional, anda boleh lihat sendiri, dia
mengukir hampir semua bahagian rumah dengan corak asli Melayu pada tingkap dan
bumbung rumah.
''Ada yang selebihnya, kami usahakan
bersama-sama adik-beradik lain demi mematuhi pesanan arwah bapa selepas dia
meninggal beberapa tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika
ditemui di sini baru-baru ini.
Katanya, selain ukiran dan seni bina
tradisional, rumah tersebut juga dihiasi dengan pelbagai barangan antik yang
dikumpul oleh bapa mereka dan kini diwarisi oleh anak-anaknya yang lain.
''Bagi menambah koleksi barangan antik milik
bapa, saya akan mencari ke merata-rata tempat untuk membeli barang antik
semata-mata mahu meningkatkan keistimewaan rumah pusaka ini," katanya.
Kata A. Rahman, bapanya mendapat idea untuk
menjadikan rumah itu sebagai rumah tradisional Melayu bermula sekitar tahun
2001 apabila ia sering mendapat kunjungan dan lawatan pelancong asing yang
tertarik dengan kebersihan serta keindahan lanskap rumah di situ.
Ujarnya, akibat ketiadaan sumber kewangan yang
cukup, bapanya menyatakan hasrat tersebut kepada Ketua Menteri, Datuk Seri
Mohd. Ali Rustam yang kemudiannya tanpa berlengah lagi mengarahkan Perbadanan
Muzium Melaka (Perzim) menjalankan kerja-kerja pemugaran rumah tersebut agar
menjadi lebih menarik.
''Setelah beberapa tahun dijadikan sebagai rumah
tradisional Melayu dan selepas menjalani beberapa kerja-kerja pemugaran,
keaslian rumah ini tetap terpelihara, jika anda lihat bangunan rumah ini
berwarna kuning, begitulah keadaannya sejak lebih 90 tahun lalu," katanya.
Dia turut melahirkan harapan agar pihak berkuasa
terbabit dapat menyediakan kawasan tempat letak bas pelancong yang lebih sesuai
di kawasan itu berbanding pada masa ini, pemandu terpaksa meletakkan kenderaan
di tepi jalan sehingga kadang kala membahayakan keselamatan pelancong.
Sementara itu, menurut adik perempuannya yang
juga penjaga rumah itu, Zainab Hamid, 50, hampir setiap hari
rumahnya itu didatangi pelancong asing dari pelbagai negara semata-mata ingin
melihat keindahan dan keunikan seni bina rumah tradisonal Melayu.
''Bagi memastikan landskap dan kawasan rumah
sentiasa bersih, saya perlu membersih dan memastikan keadaan rumah sentiasa
terjaga, lagi pun, inilah pesan arwah bapa buat kami adik beradik.
''Bapa mahu rumah pusaka ini terus kekal menjadi
rumah tradisional dan tidak sesekali kami mengubahnya menjadi rumah biasa atau
rumah moden, agar keasliannya terus terpelihara sehingga satu generasi ke
generasi berikutnya," katanya.
Rumah pusaka itu, kata Zainab, selain menjadi
tumpuan pelajar universiti menjalankan kajian mengenai seni bina rumah tradisi,
ia juga pernah dijadikan lokasi penggambaran untuk video klip beberapa artis
terkenal tanah air termasuk Siti Nurhaliza untuk album Cindai.
Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
********************************************************************************************
Keunikan Rumah Kayu Melaka
RAHIMAN Tompang menunjukkan salah sebuah bakul antik peninggalan keluarganya
Rata-rata pelancong asing ini tertarik dengan keunikan
cara hidup dan budaya masyarakat Melayu serta keindahan reka bentuk rumah
Melayu Melaka yang jelas dilihat di Malacca Kampung House yang terletak
kira-kira 5.6 kilometer dari bandar Melaka.
Pemilik rumah berkenaan, Rahimah Tompang, 49, berkata,
sejak dibuka kepada pelancong pada bulan Mei 1998, hampir 5,000 pelawat asing
dan tempatan telah mengunjungi rumah tersebut.
Kebanyakan mereka yang datang dari Eropah, Asia Timur
dan Amerika Syarikat dapat menyaksikan sendiri cara hidup dan budaya masyarakat
Melayu di negara ini.
"Melalui lawatan itu mereka lebih memahami dan
mengetahui adat resam, kebudayaan dan kehidupan keluarga Melayu,'' katanya
ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Di rumah yang berusia hampir 100 tahun itu, para
pelancong berpeluang menyaksikan keindahan reka bentuk rumah Melayu Melaka yang
terdiri daripada serambi, rumah ibu dan dapur.
"Mereka juga berpeluang menyaksikan barang-barang
untuk upacara perkahwinan masyarakat Melayu seperti pelamin, bilik pengantin,
barang-barang hantaran dan pakaian pengantin.
"Mereka boleh juga memakai pakaian pengantin yang
disediakan untuk dirakamkan sebagai kenangan,'' katanya.
Rahimah yang merupakan ibu kepada 14 orang anak
memberitahu, pelancong juga merasa seronok apabila diberi peluang mencuba
memakai kain pelikat dan kain batik.
Selain barangan pengantin, rumah tersebut juga
mempamerkan barang-barang antik seperti tempat bara, seterika lama, pinggan
mangkuk lama, pengisar beras, tempayan dan sebagainya.
Di luar rumah pula, selain pelbagai pokok bunga,
Rahimah turut menanam tumbuhan yang digunakan untuk masakan kaum Melayu seperti
lengkuas, daun pandan dan pelbagai jenis ulam-ulaman.
Menurutnya, usaha mempertahankan rumah tradisional itu
adalah sejajar dengan langkah kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan di
negeri ini.
Rahimah berharap mendapat bantuan daripada kerajaan
untuk menambah koleksi barangan antik seperti replika rumah Melayu Melaka dan
gong untuk dipamerkan di rumah tersebut.
Sementara itu, seorang pemandu pelancong yang sering
membawa pelancong ke rumah itu, A. Shanti, 31, berkata, kebanyakan pengunjung
kagum dengan kehidupan masyarakat Melayu dan perpaduan penduduk Malacca Kampung
House.
"Mereka juga terkejut melihatkan saya yang
berbangsa India begitu memahami cara hidup kaum Melayu dan mampu memberi
penjelasan kepada mereka.
"Menurut mereka, ini jauh berbeza dengan maklumat
yang mereka terima sebelum ini yang menyatakan rakyat negara ini tidak hidup
dalam harmoni,'' katanya.
Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
********************************************************************************************