Rumah tradisional Melaka jadi tarikan
Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my
utusanmelaka@utusan.com.my
ALOR
GAJAH 1 Julai - Rumah kayu atau rumah kampung pada suatu masa dulu boleh dikatakan tidak asing bagi orang Melayu. Reka bentuknya yang begitu unik dan
tidak berpaku menjadikan ia lain daripada yang lain.
Rumah
tradisional yang dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu berciri
bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin.
Menariknya,
rumah Melayu itu kerana ia mempunyai tangga batu utama di samping ukiran kayu
di bahagian serambi yang unik. Halaman rumah tradisional itu biasanya dihias
dengan pelbagai jenis bunga.
Di negeri
ini terdapat beberapa buah rumah Melayu lama yang dinamakan rumah Melayu Melaka
dan menjadi salah satu produk pelancongan.
Pelancong
yang datang melawat negeri ini pasti terpukau dengan keindahan reka bentuk
rumah warisan ini yang dijaga rapi dan ada sesetengah rumah tersebut di bawah
penjagaan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).
Antara
rumah-rumah yang mendapat sambutan ialah Rumah Tradisional Melayu Pondok
Kempas, Bukit Godek dan Pengkalan Batu serta Rumahku Muziumku di Padang Temu.
Namun
begitu, di sebalik penjagaan rapi rumah yang sudah popular di kalangan
pelancong kini, masih terdapat rumah Melayu lama dibiarkan begitu sahaja.
Bagi
sesetengah orang yang masih memelihara rumah warisan tersebut, mereka bukan
sahaja memastikan reka bentuknya kekal malah turut menghiaskan laman rumah
dengan pokok-pokok bunga.
Inisiatif
tuan rumah seharusnya dipuji kerana bukan sahaja mencantikkan laman malah akan
menjadikan persekitaran rumah tersebut sentiasa segar.
Seorang
penghuni rumah Melayu Melaka di sini, Endon Said, 73, berkata, rumah yang
didiami sejak lahir itu sering dikunjungi pelancong.
Rumah
yang sudah wujud sejak 100 tahun lalu itu merupakan peninggalan keluarganya
kepada Endon dan suami, Aziz Kesah, 75, dijaga sebaik mungkin sehingga kini.
Usaha
pasangan suami isteri ini berbaloi apabila terpilih sebagai penerima tempat
pertama johan dalam pertandingan Rumah Tradisional Halaman Cantik Negeri Melaka
sebanyak sembilan kali berturut-turut.
"Pengunjung
tertarik dengan reka bentuk rumah yang mengekalkan seni bina tradisi selain
halaman yang dipenuhi pelbagai jenis pokok,'' katanya ketika ditemui baru-baru
ini.
Menurut
Endon, minatnya terhadap hiasan laman rumah muncul sejak 18 tahun lalu apabila
dia mula mendapatkan pelbagai jenis pokok bunga daripada jiran-jiran dan
saudara mara.
"Pada
mulanya, saya cuma mendapatkan pokok-pokok ini daripada jiran-jiran dan saudara.
Saya tanam sedikit demi sedikit dan akhirnya menampakkan hasil apabila laman
rumah kelihatan cantik dan kemas.
"Saya
tidak pernah berasa penat lakukan semua ini disebabkan minat. Saya kumpul duit
hasil pemberian anak-anak dan saya lakukan aktiviti ini. Tenang melihat halaman
rumah cantik dan bersih," kata Endon.
Selain
pokok bunga, Endon dan suami juga menggunakan bahan kitar semula sebagai
hiasan.
Terdapat
pelbagai barang terbuang yang diguna semula seperti tin yang digunakan untuk
hiasan di pagar rumah, kelompang telur dicat pelbagai warna menghiasi
pokok-pokok bunga di sekitar halaman rumah dan buah kelapa yang dijadikan pasu.
Menurut
Endon, dia menggunakan barang-barang kitar semula sebagai salah satu penyeri
lamannya dan juga bahan sokongan tanaman supaya tidak melingkar secara liar.
"Daripada
melihat bahan-bahan yang boleh diguna semula terbuang, lebih baik saya ambil
dan bersihkan untuk dijadikan hiasan," katanya.
Tambah
Endon lagi, pernah juga pokok-pokok yang ditanam itu rosak dan adakalanya pokok
yang tumbuh meninggi semakin jatuh ke bawah.
"Apabila
melihat keadaan pokok yang hampir jatuh, saya dapatkan kayu atau besi yang
dapat menampung pokok-pokok tersebut," katanya.
Endon dan
suami menerima pelbagai kunjungan bukan sahaja dari dalam negara, malah
masyarakat luar Malaysia turut menjadikan rumahnya sebagai pilihan.
Sumber Artikel : http://www.utusan.com
Sumber Artikel : http://www.utusan.com
********************************************************************************************
Keistimewaan Rumah Melayu Melaka
Rumah warisan Demang Abdul Ghani
Penghulu Abdul Majid ini terletak di Kampung Merlimau Pantai, Melaka
RUMAH tradisional Melayu, yang mewarnai industri pelancongan
negeri Melaka, bukan sekadar membantu tarikan pelancong malah menjadi simbol
kepakaran seni pertukangan masyarakat silam.
Keindahan dan keunikan seni bina rumah-rumah itu juga
dianggap sebagai bayangan reka bentuk Istana Kesultanan Melaka pada abad ke-15.
Ada yang menganggap seni binanya bukan sekadar kekuatan
kreativiti tukangnya tetapi juga bersandarkan petua tertentu yang disesuaikan
dengan faktor persekitaran, adat resam, kepercayaan dan penghayatan Islam.
Rumah tradisional Melayu dikatakan turut menjadi
perlambangan kedudukan pemiliknya termasuk ketinggian peribadi dan jati diri
mereka.
Kebanyakan rumah tradisional di Melaka dibina menggunakan
kayu yang terbaik dan terpilih dengan konsep rumah bertiang, berlantai tinggi
dari tanah, berbumbung lipat kajang dan bertebar layar. Kayu yang sering
digunakan ialah meranti, cengal, belian, resak, tembusu dan merang.
RUMAH warisan Demang Abdul Ghani Penghulu Abdul Majiid kini dijadikan
galeri bagi memberi peluang pelancong menghayati keunikannya.
Tumpuan
Antara rumah tradisional yang sering mencuri tumpuan pelancong
ialah rumah warisan Demang Abdul Ghani Penghulu Abdul Majid, orang kaya yang
berasal dari Palembang.
Rumah berkenaan yang terletak di Kampung Merlimau Pantai
dipercayai dibina pada tahun 1831 tanpa mengguna paku dan dilengkapi dengan
ruang tamu, anjung, serambi, rumah ibu, bilik tidur, rumah tengah, rumah dapur
serta loteng.
Sesuai dengan kedudukannya sebagai demang atau penghulu yang
dianggap bertaraf seperti 'raja kecil' yang amat dihormati oleh masyarakat,
rumah milik Demang Abdul Ghani turut berfungsi sebagai pusat pentadbiran
kampung dan sering menjadi tempat perjumpaan masyarakat.
Rumah yang masih kukuh itu, kini dihuni Rizal Mat Ramli, 40,
cicit kepada Demang Abdul Ghani, yang mewarisi rumah warisan itu.
Galeri
"Sebenarnya ini rumah moyang saya yang dijadikan galeri
oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) untuk memberi peluang kepada pelancong
melihat keunikannya.
"Saya membesar di rumah ini dan saya sempat berjumpa
datuk saya iaitu Penghulu Mat Natar Abdul yang pernah mendiami rumah ini semasa
hayatnya," katanya.
Kakitangan Perzim, Roslan Jaafar, 36, yang sudah lapan tahun
bekerja di rumah tradisional itu mengakui rumah berkenaan begitu unik.
"Reka bentuk rumah ini amat berseni termasuk tiang
serinya yang berukiran corak bunga," katanya.
JAAFAR bersama isterinya, Azizah Abdul Hamid, 66, (kanan) dan anak saudaranya,
Nor Baha Abu Hasan, 45, bergambar di hadapan rumahnya di Kampung Serkam Pantai, Melaka.
Menurutnya, kebanyakan pelancong asing dan tempatan yang melawat rumah ini mengakui mereka kagum dengan keunikan ukiran dan seni bina rumah warisan ini.
Di Kampung Serkam Pantai pula, rumah tradisional milik
Jaafar Hashim, 73, mempunyai pelbagai fungsi dan turut memikat pelancong
serta penerbit drama.
Contohnya, bahagian serambi berfungsi sebagai ruang tamu
dan tempat bermesyuarat untuk perkara-perkara penting.
Selain itu, bahagian rumah ibu atau rumah tengah menjadi
tempat pelbagai acara termasuk yang khusus untuk wanita dalam urusan adat
seperti perkahwinan.
Bilik dalam pula dikhaskan sebagai bilik pengantin pada
setiap kali majlis perkahwinan berlangsung.
Menurut Jaafar, rumah yang berusia 90 tahun itu kini turut menjadi tumpuan kegiatan penggambaran drama televisyen. Antara pelakon popular yang pernah berlakon di situ ialah Nora Danish dan Adi Putra. Beliau bangga kerana mewarisi rumah yang begitu kaya dengan seni ukiran kayu yang halus dan indah.
Antaranya, ukiran berseni jenang tingkap selain marmar,
yang mempunyai pelbagai corak menarik yang menghiasi bahagian tertentu rumah.
Pastinya, ada perkara yang tidak boleh ditinggalkan
apabila memperkatakan mengenai rumah tradisional di Melaka iaitu seni ukiran
dan corak bunga di tangganya.
Pepatah ada menyatakan, tanpa tangga, rumah tradisional di
Melaka hilang serinya. - Bernama
Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my ********************************************************************************************
Rumah
Busu Dolah tiada Pendua
Melayu Melaka seakan-akan
wajib dihias dengan jubin warna-warni dengan motif flora,
FALSAFAH reka bentuk rumah tradisi Melayu Melaka
sememangnya sangat unik. Ia adalah garapan apresiasi pemiliknya terhadap budaya
Melayu, keindahan alam dan kehidupan bermasyarakat yang diterjemahkan melalui
ilham seni bina.
Justeru, identiti rumah Melayu Melaka begitu
mudah dikenali. Bumbungnya panjang memayungi bahagian serambi rumah dan binaan
tangga batunya pula seakan-akan wajib diberi kemasan jubin bermotif flora.
Bagi Yaakob Buang, 54, jendela yang dipasang
rendah dan ukiran kayu turut dijadikan tanda pengenalan.
Lebih dikenali sebagai Busu Dolah, penjawat awam
ini merupakan pemilik satu-satunya rumah tradisional Melayu Melaka yang ada di
negara ini.
Kukuh
Kemewahan rumah yang diwarisi daripada datuknya,
Hitam Buntal ini bukan dilihat pada perabot atau hiasan dalaman sebaliknya
dinilai berdasarkan kehalusan ukiran dan seni binanya.
Tersergam indah di Jalan Bukit Godek, Kampung
Semabok Dalam, Melaka, rumah warisan tersebut sudah berusia 103 tahun.
“Menurut arwah bapa, rumah ini mula dibina pada
tahun 1909 oleh tukang rumah tempatan.
TERDAPAT 12 jendela kayu lengkap dengan kayu ram yang mengawal
kemasukan
cahaya dan udara di serambi rumah.
“Pembinaannya tidak menggunakan paku sebaliknya memakai pasak dan tanggam sahaja,” kata Busu Dolah.
Mewah dengan ukiran kerawang jenis tebuk tembus
dan tebuk timbul di keseluruhan serambi dan rumah ibu, ternyata ia melahirkan
rasa kagum yang bukan sedikit.
Biarpun sudah didiami selama empat generasi,
keunggulan seni binanya yang masih kukuh sekali gus membuktikan seni bina budaya
Melayu suatu masa dahulu benar-benar berkualiti.
Menurut Busu Dolah, rumahnya itu sering menjadi
tumpuan pelancong, arkitek, jurutera dan penuntut universiti tempatan.
Malah, ia juga menjadi pilihan pelbagai syarikat
produksi serta stesen penyiaran dari dalam mahupun luar negara untuk dijadikan
lokasi penggambaran.
“Selain seni bina rumah, ukiran kerawang turut
menggamit pengunjung bertandang ke mari.
“Daripada kajian yang dijalankan, semuanya
berpendapat ukiran yang ada di rumah ini tiada penduanya di tempat lain.
“Rumah ini juga dianggap sebagai satu-satunya
rumah warisan Melayu Melaka yang masih ada,” katanya.
KEMEWAHAN
rumah Busu Dolah dilihat dari aspek seni bina
tradisional dan ukiran kerawang yang halus buatannya.
Upah
10 sen sehari
Bercerita lanjut tentang ukiran yang menjadi
penyeri kediamannya, Busu Dolah memberitahu, sekeping ukiran kayu mengambil masa
selama tiga hari untuk disiapkan.
“Arwah datuk mengupah orang kampung untuk
mengukir kerawang dengan motif flora dan geometri dengan upah 10 sen sehari.
“Diukir menggunakan pahat dan penukul, hasil
kerja tangan ini memang halus buatannya,” ujarnya.
Selain untuk tujuan hiasan, kepelbagaian ukiran
berlubang di atas jendela, muka pintu dan dinding turut menggalakkan kemaskan
udara dan cahaya ke dalam rumah.
Memetik kata-kata Penolong Pengurus Projek,
Badan Warisan Malaysia, Intan Syaheeda Abu Bakar, ukiran penuh kerawang bukan
sahaja dipandang sebagai aksesori tetapi turut menunjukkan status pemilik
rumah.
“Boleh jadi juga,” pintas Busu Dolah. Suatu masa
dahulu, arwah datuknya merupakan peniaga yang cukup disegani.
“Selain mempunyai tanah bendang yang luas,
beliau turut dikenali sebagai pengeksport telur ikan terubuk Melaka ke
Thailand.
“Beliau juga menghasilkan baja sawah daripada
tulang lembu yang dibakar dan ditumbuk sebelum dijual kepada penduduk kampung,”
ujar Busu Dolah lagi.
Meneliti reka bentuk rumah yang berusia lebih
seabad ini, identiti rustik, canggih dan bistari yang diserap melalui teknik
pembinaannya nyata masih relevan untuk dipraktikkan dalam seni bina masa kini.
Selain berfungsi sebagai tempat berlindung,
binaannya tidak lari daripada perincian khusus bagi memastikan keselesaan
penghuni tanpa melupakan pengaruh adat dan alam.
“Serambi adalah bahagian hadapan rumah di mana
tuan rumah menyambut kedatangan tetamu.
KEUNGGULAN
seni bina dan rekaan Melayu tradisi Melaka ini
masih kekal biarkan ia telah
didiami selama empat generasi.
“Jika ada yang bermalam di sini, kaum lelaki akan tidur beramai-ramai di serambi sementara anak dara akan berehat dan tidur di loteng atas rumah,” ujar isteri Busu Dolah, Zainab Mat Yasin, 51.
Rumah ini pada
asalnya memanjang ke belakang dan tidak mempunyai rumah bawah.
Namun, selepas
lebih 70 tahun digunakan, bahagian dapurnya dibuka dan diganti dengan rumah
bawah yang dibina menggunakan batu.
“Kos untuk membaiki rumah kayu sangat tinggi, lagipun
rumah asal mempunyai sebuah bilik sahaja,” tambah Busu Dolah.Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my ********************************************************************************************
Legasi Kampung Morten
Kampung tradisional Melayu ini seperti muzium
hidup
RAMAI pelancong yang melawat Kampung Morten
menganggap kampung tradisional Melayu ini sebagai muzium hidup.
Ini tidak menghairankan kerana ramai penduduk
kampung itu masih mengamalkan cara hidup lama, di samping mempamerkan keunikan
reka bentuk rumah mereka.
Kampung Morten yang diambil sempena nama seorang
Pesuruhjaya Tanah Inggeris, Frederick Joseph Morten, mempunyai 85 buah rumah
termasuk 52 rumah tradisional Melaka.
Morten dipercayai memainkan peranan penting bagi
membina kampung itu pada tahun 1920-an, sementara pengasasnya dikenali sebagai
Allahyarham Othman Mohd Noh.
Kampung itu terletak di kawasan paya yang
diliputi hutan pokok nipah di pinggir Sungai Melaka.
Kampung Morten merupakan satu-satunya kampung
Melayu di bandar bersejarah Melaka yang masih memiliki identiti tersendiri.
Antaranya reka bentuk rumah, cara menghias rumah dan landskapnya.
Rumah tradisional Melaka dibina dengan reka
bentuk warisan masyarakat Melayu bercirikan bumbung atap yang panjang dan
tangga batu bersalut jubin.
Tangga batu merupakan ciri-ciri utama, di
samping ukiran kayu di bahagian serambi yang unik. Halaman rumah tradisional
tersebut biasanya dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga.
Ini menjadikan Kampung Morten begitu istimewa
dan berupaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
Pengunjung berpeluang melihat kesemua deretan
rumah tradisional yang tersusun dari segi bentuk bumbung, tangga dan hiasan
dalaman. Ia seolah-olah membawa pengunjung kembali ke zaman kerajaan Melayu
Melaka.
Kampung Morten mendapat perhatian penuh kerajaan
Melaka dan diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan
Budaya pada tahun 1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan
pusat tarikan pelancong.
Kini, perkampungan itu dikelilingi bangunan
moden dan aliran air Sungai Melaka yang bersih dengan kedua-dua tebing sungai
diperindah oleh kerajaan negeri.
Mereka yang menaiki Melaka River Cruise,
berpeluang menyusuri kira-kira empat kilometer di sungai berkenaan, tentunya
terpegun melihat rumah tradisional Melayu yang terdapat di kampung tersebut.
Villa Sentosa
Sekali imbas jika melihat deretan rumah
tradisional Melayu Melaka di kampung itu, tiada siapa menyangka terdapat sebuah
rumah yang masih menyimpan khazanah Melayu Melaka yang berusia lebih setengah
abad.
ORANG RAMAI dan pelancong menyusuri Sungai Melaka dengan bot River Cruise
Khazanah
itu tersimpan di Villa Sentosa, dan tidak lengkap lawatan pelancong ke kampung
ini, jika tidak singgah di Villa Sentosa.
Villa Sentosa yang terletak di pinggir Sungai
Melaka dibina oleh Othman ketika beliau membuka kampung berkenaan pada tahun
1920.
Kini, setelah sembilan generasinya menduduki kediaman
tersebut, ia masih lagi mengekalkan tradisi yang ditinggalkan dan penghuninya
terus menjaga warisan berkenaan.
Villa Sentosa juga dikenali sebagai The
Living Museum. Rumah itu diubahsuai menjadi muzium peribadi dan dirasmikan
pembukaannya pada 11 Disember 1991. Villa Sentosa kini diuruskan oleh waris
generasi itu, Abdul Rahim Hashim, 58.
Abdul Rahim berkata, Villa Sentosa memiliki reka
bentuk rumah yang unik dan menghimpunkan pelbagai bahan sejarah seperti pakaian
tradisional Melayu, alat muzik tradisional serta perabot antik.
Pengunjung juga berpeluang mengenali generasi
Hashim Abdul Ghani iaitu bapa Abdul Rahim melalui gambar keluarga yang
digantung di dalam bilik pengantin.
Menurut Abdul Rahim, bilik berkenaan digunakan
untuk majlis perkahwinan oleh waris keluarganya. Di ruang hadapan Villa Sentosa
tergantung sebuah lakaran carta salasilah keluarga sembilan generasi itu.
RUMAH milik Abdul Rahim Hashim di Kampung Morten dijadikan muzium
Villa tersebut juga menyajikan himpunan piring
hitam era 50-an, selain pameran senjata tradisional seperti tekpi yang berusia
100 tahun, pinggan mangkuk berusia 100 tahun dari China, England, Itali dan
Perancis.
"Dalam usaha mempromosi Villa Sentosa, kami
turut mengadakan persembahan kebudayaan, nyanyian dondang sayang dan joget
lambak.
"Persembahan ini diadakan sekali setiap
bulan," kata Abdul Rahim. Beliau berkata, pengunjung tidak dikenakan
sebarang bayaran dan anggota keluarganya juga bersedia memberi penerangan
kepada pengunjung.
"Kami tidak mengenakan apa-apa bayaran,
memadai dengan menderma untuk tabung keluarga ini bagi membantu kami membaiki
dan menaik taraf Villa Sentosa," katanya.
Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my ******************************************************************************************** Rumah Tradisional Bukit Palah
RUMAH
Tradisional Bukit Palah kini menjadi tarikan pelancong dalam dan
luar negara yang ingin melihat keunikan rumah tradisional Melaka.
MELAKA 26 Nov. - Selain tempat bersejarah di
Banda Hilir yang menjadi destinasi mesti lawat bagi pelancong ke Melaka,
rumah-rumah kampung tradisional Melayu yang indah dan unik di negeri ini juga
merupakan produk pelancongan yang menarik untuk dilawati.
Kebersihan dan keindahan rumah tradisional yang
mempunyai landskap yang menarik menjadikannya tarikan kepada pelancong,
khususnya bagi mereka yang cintakan keindahan seni bina Melayu lama.
Salah satunya yang lebih menyerlah adalah rumah
tradisional Melayu Bukit Palah yang menjangkau usia 90 tahun, kini dihuni oleh
pewaris yang terdiri daripada anak-anak pemilik asalnya, Hamid Sidek dan Hasnah
Hasan.
Selain landskapnya yang menarik dan bersih,
keunikan rumah tradisional Melayu Bukit Palah ini ialah kerana ia masih
mengekalkan ciri-ciri seni bina rumah tradisional dengan atapnya yang tinggi
dan bertangga batu.
Menurut salah seorang anak pasangan itu, A.
Rahman Hamid, 55, biarpun masa telah berubah dan kedua-dua ibu bapanya
telah meninggal dunia, namun kesemua mereka sembilan beradik telah diberi
amanat agar sentiasa memelihara nilai asli rumah pusaka mereka itu.
''Arwah bapa yang bersungguh-sungguh ingin
menjadikan rumah ini sebagai rumah tradisional, anda boleh lihat sendiri, dia
mengukir hampir semua bahagian rumah dengan corak asli Melayu pada tingkap dan
bumbung rumah.
''Ada yang selebihnya, kami usahakan
bersama-sama adik-beradik lain demi mematuhi pesanan arwah bapa selepas dia
meninggal beberapa tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika
ditemui di sini baru-baru ini.
Katanya, selain ukiran dan seni bina
tradisional, rumah tersebut juga dihiasi dengan pelbagai barangan antik yang
dikumpul oleh bapa mereka dan kini diwarisi oleh anak-anaknya yang lain.
''Bagi menambah koleksi barangan antik milik
bapa, saya akan mencari ke merata-rata tempat untuk membeli barang antik
semata-mata mahu meningkatkan keistimewaan rumah pusaka ini," katanya.
Kata A. Rahman, bapanya mendapat idea untuk
menjadikan rumah itu sebagai rumah tradisional Melayu bermula sekitar tahun
2001 apabila ia sering mendapat kunjungan dan lawatan pelancong asing yang
tertarik dengan kebersihan serta keindahan lanskap rumah di situ.
Ujarnya, akibat ketiadaan sumber kewangan yang
cukup, bapanya menyatakan hasrat tersebut kepada Ketua Menteri, Datuk Seri
Mohd. Ali Rustam yang kemudiannya tanpa berlengah lagi mengarahkan Perbadanan
Muzium Melaka (Perzim) menjalankan kerja-kerja pemugaran rumah tersebut agar
menjadi lebih menarik.
''Setelah beberapa tahun dijadikan sebagai rumah
tradisional Melayu dan selepas menjalani beberapa kerja-kerja pemugaran,
keaslian rumah ini tetap terpelihara, jika anda lihat bangunan rumah ini
berwarna kuning, begitulah keadaannya sejak lebih 90 tahun lalu," katanya.
Dia turut melahirkan harapan agar pihak berkuasa
terbabit dapat menyediakan kawasan tempat letak bas pelancong yang lebih sesuai
di kawasan itu berbanding pada masa ini, pemandu terpaksa meletakkan kenderaan
di tepi jalan sehingga kadang kala membahayakan keselamatan pelancong.
Sementara itu, menurut adik perempuannya yang
juga penjaga rumah itu, Zainab Hamid, 50, hampir setiap hari
rumahnya itu didatangi pelancong asing dari pelbagai negara semata-mata ingin
melihat keindahan dan keunikan seni bina rumah tradisonal Melayu.
''Bagi memastikan landskap dan kawasan rumah
sentiasa bersih, saya perlu membersih dan memastikan keadaan rumah sentiasa
terjaga, lagi pun, inilah pesan arwah bapa buat kami adik beradik.
''Bapa mahu rumah pusaka ini terus kekal menjadi
rumah tradisional dan tidak sesekali kami mengubahnya menjadi rumah biasa atau
rumah moden, agar keasliannya terus terpelihara sehingga satu generasi ke
generasi berikutnya," katanya.
Rumah pusaka itu, kata Zainab, selain menjadi
tumpuan pelajar universiti menjalankan kajian mengenai seni bina rumah tradisi,
ia juga pernah dijadikan lokasi penggambaran untuk video klip beberapa artis
terkenal tanah air termasuk Siti Nurhaliza untuk album Cindai.
******************************************************************************************** Keunikan Rumah Kayu Melaka
RAHIMAN Tompang menunjukkan salah sebuah bakul antik peninggalan keluarganya
Rata-rata pelancong asing ini tertarik dengan keunikan
cara hidup dan budaya masyarakat Melayu serta keindahan reka bentuk rumah
Melayu Melaka yang jelas dilihat di Malacca Kampung House yang terletak
kira-kira 5.6 kilometer dari bandar Melaka.
Pemilik rumah berkenaan, Rahimah Tompang, 49, berkata,
sejak dibuka kepada pelancong pada bulan Mei 1998, hampir 5,000 pelawat asing
dan tempatan telah mengunjungi rumah tersebut.
Kebanyakan mereka yang datang dari Eropah, Asia Timur
dan Amerika Syarikat dapat menyaksikan sendiri cara hidup dan budaya masyarakat
Melayu di negara ini.
"Melalui lawatan itu mereka lebih memahami dan
mengetahui adat resam, kebudayaan dan kehidupan keluarga Melayu,'' katanya
ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Di rumah yang berusia hampir 100 tahun itu, para
pelancong berpeluang menyaksikan keindahan reka bentuk rumah Melayu Melaka yang
terdiri daripada serambi, rumah ibu dan dapur.
"Mereka juga berpeluang menyaksikan barang-barang
untuk upacara perkahwinan masyarakat Melayu seperti pelamin, bilik pengantin,
barang-barang hantaran dan pakaian pengantin.
"Mereka boleh juga memakai pakaian pengantin yang
disediakan untuk dirakamkan sebagai kenangan,'' katanya.
Rahimah yang merupakan ibu kepada 14 orang anak
memberitahu, pelancong juga merasa seronok apabila diberi peluang mencuba
memakai kain pelikat dan kain batik.
Selain barangan pengantin, rumah tersebut juga
mempamerkan barang-barang antik seperti tempat bara, seterika lama, pinggan
mangkuk lama, pengisar beras, tempayan dan sebagainya.
Di luar rumah pula, selain pelbagai pokok bunga,
Rahimah turut menanam tumbuhan yang digunakan untuk masakan kaum Melayu seperti
lengkuas, daun pandan dan pelbagai jenis ulam-ulaman.
Menurutnya, usaha mempertahankan rumah tradisional itu
adalah sejajar dengan langkah kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan di
negeri ini.
Rahimah berharap mendapat bantuan daripada kerajaan
untuk menambah koleksi barangan antik seperti replika rumah Melayu Melaka dan
gong untuk dipamerkan di rumah tersebut.
Sementara itu, seorang pemandu pelancong yang sering
membawa pelancong ke rumah itu, A. Shanti, 31, berkata, kebanyakan pengunjung
kagum dengan kehidupan masyarakat Melayu dan perpaduan penduduk Malacca Kampung
House.
"Mereka juga terkejut melihatkan saya yang
berbangsa India begitu memahami cara hidup kaum Melayu dan mampu memberi
penjelasan kepada mereka.
"Menurut mereka, ini jauh berbeza dengan maklumat
yang mereka terima sebelum ini yang menyatakan rakyat negara ini tidak hidup
dalam harmoni,'' katanya.
Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my ******************************************************************************************** |
Casino Game For Sale by Hoyle - Filmfile Europe
ReplyDelete› casino-games › 1등 사이트 casino-games › casino-games › casino-games nba매니아 Casino Game gri-go.com for sale https://vannienailor4166blog.blogspot.com/ by Hoyle on Filmfile Europe. Free shipping for most countries, no download หารายได้เสริม required. Check the deals we have.