Struktur Senibina Rumah
Warisan Melaka
Struktur rumah-rumah tradisional Melaka pada asasnya diperbuat daripada
kayu dan papan dan beratapkan nipah. Secara umumnya dapat dikenalpasti dengan
ketara melalui keunikan tangga batunya yang bertingkat dan dihiasi dengan jubin
bercorak tumbuhan, bungaan, burung atau geometri. Rumah ini terbahagi kepada
beberapa bahagian iaitu serambi, rumah ibu, selang, rumah dapur, pelantar,
loteng dan pangkin.
Penjelasan berkaitan dengan bahagian-bahagian utama yang terdapat di
Rumah Warisan Melaka adalah seperti berikut :
a. Serambi atau beranda (bahagian ruang lapang sebelum memasuki bahagian
dalam rumah, ia biasanya menjadi tempat untuk pemilik rumah atau tetamu duduk
bersembang atau berehat-rehat di sebelah petang).
b. Rumah Ibu (bahagian ruang yang besar dan biasanya mengandungi
beberapa buah bilik).
c. Selang (ruang pemisah di antara rumah ibu dan rumah dapur).
e. Pelantar (ruang untuk kerja-kerja menyiapkan bahan masakan dan
penyimpanan bahan dapur yang diperlukan untuk memasak).
f. Loteng (ruang di bahagian bumbung rumah untuk dijadikan tempat
simpanan barang-barang).
g. Pangkin (satu ruang tempat duduk berbumbung untuk menunggu atau berbual
di hadapan rumah).
Dari sudut luaran rumah, pada asalnya ia mempunyai bumbung yang
diperbuat daripada atap nipah, namun kini mengikut peredaran masa biasanya ia
telah ditukar oleh para pemilik rumah tersebut dengan bumbung zink, ardex atau
genting. Bahagian bumbung yang memanjang dan bertingkat ini dinamakan sebagai
‘bumbung tebar layar’. Bumbung tebar layar yang bertingkat ini membolehkan
proses pengudaraan berlaku dengan sempurna.
Ciri paling ketara yang menjadikan Rumah Warisan Melaka ini berbeza dan
istimewa berbanding dengan rumah-rumah tradisional di negeri-negeri lain adalah
tangganya yang diperbuat daripada simen berserta hiasan jubin yang mengindahkan
lagi bentuk tangga tersebut dan ianya dikenali sebagai ‘tangga batu’. Biasanya
ia dibina dalam bilangan 3, 5, 7 atau 9 anak tangga dengan hiasan jubin yang di
import dari China.
Pada kebiasaannya tangga ini berwarna merah atau hijau, namun begitu ada
sesetengah tangga Rumah Warisan Melaka ini disaluti secara keseluruhannya
dengan jubin yang beranika corak. Bagi rumah yang memiliki tangga batu yang
luas dengan jubin penuh pelbagai corak pada kebiasaannya pemilik asal rumah
tersebut merupakan orang yang kaya dan berharta. Biasanya mereka ini merupakan
Datuk Penghulu atau Datuk Sidang bagi mukim atau kawasan tersebut.
seronok
ReplyDeleteBerapa sudut bumbung rumah melayu melaka
ReplyDelete