Tuesday, 22 July 2014

Senibina Rumah Melayu Melaka : Keunikannya Untuk Dihayati Dan Dihargai

Struktur Senibina Rumah Warisan Melaka

Struktur rumah-rumah tradisional Melaka pada asasnya diperbuat daripada kayu dan papan dan beratapkan nipah. Secara umumnya dapat dikenalpasti dengan ketara melalui keunikan tangga batunya yang bertingkat dan dihiasi dengan jubin bercorak tumbuhan, bungaan, burung atau geometri. Rumah ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu serambi, rumah ibu, selang, rumah dapur, pelantar, loteng dan pangkin.




Penjelasan berkaitan dengan bahagian-bahagian utama yang terdapat di Rumah Warisan Melaka adalah seperti berikut :

a. Serambi atau beranda (bahagian ruang lapang sebelum memasuki bahagian dalam rumah, ia biasanya menjadi tempat untuk pemilik rumah atau tetamu duduk bersembang atau berehat-rehat di sebelah petang).


b. Rumah Ibu (bahagian ruang yang besar dan biasanya mengandungi beberapa buah bilik).


c. Selang (ruang pemisah di antara rumah ibu dan rumah dapur).


d. Rumah Dapur (tempat untuk memasak dan menikmati masakan untuk makan tengahari atau makan malam).


e. Pelantar (ruang untuk kerja-kerja menyiapkan bahan masakan dan penyimpanan bahan dapur yang diperlukan untuk memasak).



f. Loteng (ruang di bahagian bumbung rumah untuk dijadikan tempat simpanan barang-barang).



g. Pangkin (satu ruang tempat duduk berbumbung untuk menunggu atau berbual di hadapan rumah).



Dari sudut luaran rumah, pada asalnya ia mempunyai bumbung yang diperbuat daripada atap nipah, namun kini mengikut peredaran masa biasanya ia telah ditukar oleh para pemilik rumah tersebut dengan bumbung zink, ardex atau genting. Bahagian bumbung yang memanjang dan bertingkat ini dinamakan sebagai ‘bumbung tebar layar’. Bumbung tebar layar yang bertingkat ini membolehkan proses pengudaraan berlaku dengan sempurna.



Ciri paling ketara yang menjadikan Rumah Warisan Melaka ini berbeza dan istimewa berbanding dengan rumah-rumah tradisional di negeri-negeri lain adalah tangganya yang diperbuat daripada simen berserta hiasan jubin yang mengindahkan lagi bentuk tangga tersebut dan ianya dikenali sebagai ‘tangga batu’. Biasanya ia dibina dalam bilangan 3, 5, 7 atau 9 anak tangga dengan hiasan jubin yang di import dari China.



Pada kebiasaannya tangga ini berwarna merah atau hijau, namun begitu ada sesetengah tangga Rumah Warisan Melaka ini disaluti secara keseluruhannya dengan jubin yang beranika corak. Bagi rumah yang memiliki tangga batu yang luas dengan jubin penuh pelbagai corak pada kebiasaannya pemilik asal rumah tersebut merupakan orang yang kaya dan berharta. Biasanya mereka ini merupakan Datuk Penghulu atau Datuk Sidang bagi mukim atau kawasan tersebut.


                                 Penghulu Abdul Majid        (1831-1834)
                                 Penghulu Abdul Ghani       (1834-1934)
                                 Penghulu Mat Natar           (1934-1978)
Senarai pemilik rumah warisan Melayu yang tertua di Merlimau Melaka

Saturday, 19 July 2014

Paparan Rumah Warisan Melaka Di Media Masa : Senibina Bangsa Untuk Dikongsi Bersama

Rumah tradisional Melaka jadi tarikan
Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my



ALOR GAJAH 1 Julai - Rumah kayu atau rumah kampung pada suatu masa dulu boleh dikatakan tidak asing bagi orang Melayu. Reka bentuknya yang begitu unik dan tidak berpaku menjadikan ia lain daripada yang lain.


Rumah tradisional yang dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu berciri bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin.

Menariknya, rumah Melayu itu kerana ia mempunyai tangga batu utama di samping ukiran kayu di bahagian serambi yang unik. Halaman rumah tradisional itu biasanya dihias dengan pelbagai jenis bunga.

Di negeri ini terdapat beberapa buah rumah Melayu lama yang dinamakan rumah Melayu Melaka dan menjadi salah satu produk pelancongan.

Pelancong yang datang melawat negeri ini pasti terpukau dengan keindahan reka bentuk rumah warisan ini yang dijaga rapi dan ada sesetengah rumah tersebut di bawah penjagaan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Antara rumah-rumah yang mendapat sambutan ialah Rumah Tradisional Melayu Pondok Kempas, Bukit Godek dan Pengkalan Batu serta Rumahku Muziumku di Padang Temu.

Namun begitu, di sebalik penjagaan rapi rumah yang sudah popular di kalangan pelancong kini, masih terdapat rumah Melayu lama dibiarkan begitu sahaja.

Bagi sesetengah orang yang masih memelihara rumah warisan tersebut, mereka bukan sahaja memastikan reka bentuknya kekal malah turut menghiaskan laman rumah dengan pokok-pokok bunga.

Inisiatif tuan rumah seharusnya dipuji kerana bukan sahaja mencantikkan laman malah akan menjadikan persekitaran rumah tersebut sentiasa segar.

Seorang penghuni rumah Melayu Melaka di sini, Endon Said, 73, berkata, rumah yang didiami sejak lahir itu sering dikunjungi pelancong.

Rumah yang sudah wujud sejak 100 tahun lalu itu merupakan peninggalan keluarganya kepada Endon dan suami, Aziz Kesah, 75, dijaga sebaik mungkin sehingga kini.

Usaha pasangan suami isteri ini berbaloi apabila terpilih sebagai penerima tempat pertama johan dalam pertandingan Rumah Tradisional Halaman Cantik Negeri Melaka sebanyak sembilan kali berturut-turut.

"Pengunjung tertarik dengan reka bentuk rumah yang mengekalkan seni bina tradisi selain halaman yang dipenuhi pelbagai jenis pokok,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Endon, minatnya terhadap hiasan laman rumah muncul sejak 18 tahun lalu apabila dia mula mendapatkan pelbagai jenis pokok bunga daripada jiran-jiran dan saudara mara.

"Pada mulanya, saya cuma mendapatkan pokok-pokok ini daripada jiran-jiran dan saudara. Saya tanam sedikit demi sedikit dan akhirnya menampakkan hasil apabila laman rumah kelihatan cantik dan kemas.

"Saya tidak pernah berasa penat lakukan semua ini disebabkan minat. Saya kumpul duit hasil pemberian anak-anak dan saya lakukan aktiviti ini. Tenang melihat halaman rumah cantik dan bersih," kata Endon.

Selain pokok bunga, Endon dan suami juga menggunakan bahan kitar semula sebagai hiasan.

Terdapat pelbagai barang terbuang yang diguna semula seperti tin yang digunakan untuk hiasan di pagar rumah, kelompang telur dicat pelbagai warna menghiasi pokok-pokok bunga di sekitar halaman rumah dan buah kelapa yang dijadikan pasu.

Menurut Endon, dia menggunakan barang-barang kitar semula sebagai salah satu penyeri lamannya dan juga bahan sokongan tanaman supaya tidak melingkar secara liar.

"Daripada melihat bahan-bahan yang boleh diguna semula terbuang, lebih baik saya ambil dan bersihkan untuk dijadikan hiasan," katanya.

Tambah Endon lagi, pernah juga pokok-pokok yang ditanam itu rosak dan adakalanya pokok yang tumbuh meninggi semakin jatuh ke bawah.

"Apabila melihat keadaan pokok yang hampir jatuh, saya dapatkan kayu atau besi yang dapat menampung pokok-pokok tersebut," katanya.


Endon dan suami menerima pelbagai kunjungan bukan sahaja dari dalam negara, malah masyarakat luar Malaysia turut menjadikan rumahnya sebagai pilihan.

Sumber Artikel : http://www.utusan.com

********************************************************************************************

Keistimewaan Rumah Melayu Melaka
Rumah warisan Demang Abdul Ghani Penghulu Abdul Majid ini terletak di Kampung Merlimau Pantai, Melaka

RUMAH tradisional Melayu, yang mewarnai industri pelancongan negeri Melaka, bukan sekadar membantu tarikan pelancong malah menjadi simbol kepakaran seni pertukangan masyarakat silam.

Keindahan dan keunikan seni bina rumah-rumah itu juga dianggap sebagai bayangan reka bentuk Istana Kesultanan Melaka pada abad ke-15.

Ada yang menganggap seni binanya bukan sekadar kekuatan kreativiti tukangnya tetapi juga bersandarkan petua tertentu yang disesuaikan dengan faktor persekitaran, adat resam, kepercayaan dan penghayatan Islam.

Rumah tradisional Melayu dikatakan turut menjadi perlambangan kedudukan pemiliknya termasuk ketinggian peribadi dan jati diri mereka.

Kebanyakan rumah tradisional di Melaka dibina menggunakan kayu yang terbaik dan terpilih dengan konsep rumah bertiang, berlantai tinggi dari tanah, berbumbung lipat kajang dan bertebar layar. Kayu yang sering digunakan ialah meranti, cengal, belian, resak, tembusu dan merang.

RUMAH warisan Demang Abdul Ghani Penghulu Abdul Majiid kini dijadikan 
galeri bagi memberi peluang pelancong menghayati keunikannya.

Tumpuan
Antara rumah tradisional yang sering mencuri tumpuan pelancong ialah rumah warisan Demang Abdul Ghani Penghulu Abdul Majid, orang kaya yang berasal dari Palembang.

Rumah berkenaan yang terletak di Kampung Merlimau Pantai dipercayai dibina pada tahun 1831 tanpa mengguna paku dan dilengkapi dengan ruang tamu, anjung, serambi, rumah ibu, bilik tidur, rumah tengah, rumah dapur serta loteng.

Sesuai dengan kedudukannya sebagai demang atau penghulu yang dianggap bertaraf seperti 'raja kecil' yang amat dihormati oleh masyarakat, rumah milik Demang Abdul Ghani turut berfungsi sebagai pusat pentadbiran kampung dan sering menjadi tempat perjumpaan masyarakat.

Rumah yang masih kukuh itu, kini dihuni Rizal Mat Ramli, 40, cicit kepada Demang Abdul Ghani, yang mewarisi rumah warisan itu.

Galeri
"Sebenarnya ini rumah moyang saya yang dijadikan galeri oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) untuk memberi peluang kepada pelancong melihat keunikannya.

"Saya membesar di rumah ini dan saya sempat berjumpa datuk saya iaitu Penghulu Mat Natar Abdul yang pernah mendiami rumah ini semasa hayatnya," katanya.

Kakitangan Perzim, Roslan Jaafar, 36, yang sudah lapan tahun bekerja di rumah tradisional itu mengakui rumah berkenaan begitu unik.
"Reka bentuk rumah ini amat berseni termasuk tiang serinya yang berukiran corak bunga," katanya.


JAAFAR bersama isterinya, Azizah Abdul Hamid, 66, (kanan) dan anak saudaranya, 
Nor Baha Abu Hasan, 45, bergambar di hadapan rumahnya di Kampung Serkam Pantai, Melaka.

Menurutnya, kebanyakan pelancong asing dan tempatan yang melawat rumah ini mengakui mereka kagum dengan keunikan ukiran dan seni bina rumah warisan ini.

Di Kampung Serkam Pantai pula, rumah tradisional milik Jaafar Hashim, 73, mempunyai pelbagai fungsi dan turut memikat pelancong serta penerbit drama.

Contohnya, bahagian serambi berfungsi sebagai ruang tamu dan tempat bermesyuarat untuk perkara-perkara penting.

Selain itu, bahagian rumah ibu atau rumah tengah menjadi tempat pelbagai acara termasuk yang khusus untuk wanita dalam urusan adat seperti perkahwinan.

Bilik dalam pula dikhaskan sebagai bilik pengantin pada setiap kali majlis perkahwinan berlangsung.

Menurut Jaafar, rumah yang berusia 90 tahun itu kini turut menjadi tumpuan kegiatan penggambaran drama televisyen. Antara pelakon popular yang pernah berlakon di situ ialah Nora Danish dan Adi Putra.

Beliau bangga kerana mewarisi rumah yang begitu kaya dengan seni ukiran kayu yang halus dan indah.

Antaranya, ukiran berseni jenang tingkap selain marmar, yang mempunyai pelbagai corak menarik yang menghiasi bahagian tertentu rumah.

Pastinya, ada perkara yang tidak boleh ditinggalkan apabila memperkatakan mengenai rumah tradisional di Melaka iaitu seni ukiran dan corak bunga di tangganya.

Pepatah ada menyatakan, tanpa tangga, rumah tradisional di Melaka hilang serinya. - Bernama

Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my



********************************************************************************************


Rumah Busu Dolah tiada Pendua
Melayu Melaka seakan-akan wajib dihias dengan jubin warna-warni dengan motif flora,

FALSAFAH reka bentuk rumah tradisi Melayu Melaka sememangnya sangat unik. Ia adalah garapan apresiasi pemiliknya terhadap budaya Melayu, keindahan alam dan kehidupan bermasyarakat yang diterjemahkan melalui ilham seni bina.

Justeru, identiti rumah Melayu Melaka begitu mudah dikenali. Bumbungnya panjang memayungi bahagian serambi rumah dan binaan tangga batunya pula seakan-akan wajib diberi kemasan jubin bermotif flora.

Bagi Yaakob Buang, 54, jendela yang dipasang rendah dan ukiran kayu turut dijadikan tanda pengenalan.

Lebih dikenali sebagai Busu Dolah, penjawat awam ini merupakan pemilik satu-satunya rumah tradisional Melayu Melaka yang ada di negara ini.

Kukuh
Kemewahan rumah yang diwarisi daripada datuknya, Hitam Buntal ini bukan dilihat pada perabot atau hiasan dalaman sebaliknya dinilai berdasarkan kehalusan ukiran dan seni binanya.

Tersergam indah di Jalan Bukit Godek, Kampung Semabok Dalam, Melaka, rumah warisan tersebut sudah berusia 103 tahun.

“Menurut arwah bapa, rumah ini mula dibina pada tahun 1909 oleh tukang rumah tempatan.

TERDAPAT 12 jendela kayu lengkap dengan kayu ram yang mengawal 
kemasukan cahaya dan udara di serambi rumah.

“Pembinaannya tidak menggunakan paku sebaliknya memakai pasak dan tanggam sahaja,” kata Busu Dolah.

Mewah dengan ukiran kerawang jenis tebuk tembus dan tebuk timbul di keseluruhan serambi dan rumah ibu, ternyata ia melahirkan rasa kagum yang bukan sedikit.

Biarpun sudah didiami selama empat generasi, keunggulan seni binanya yang masih kukuh sekali gus membuktikan seni bina budaya Melayu suatu masa dahulu benar-benar berkualiti.

Menurut Busu Dolah, rumahnya itu sering menjadi tumpuan pelancong, arkitek, jurutera dan penuntut universiti tempatan.

Malah, ia juga menjadi pilihan pelbagai syarikat produksi serta stesen penyiaran dari dalam mahupun luar negara untuk dijadikan lokasi penggambaran.

“Selain seni bina rumah, ukiran kerawang turut menggamit pengunjung bertandang ke mari.

“Daripada kajian yang dijalankan, semuanya berpendapat ukiran yang ada di rumah ini tiada penduanya di tempat lain.

“Rumah ini juga dianggap sebagai satu-satunya rumah warisan Melayu Melaka yang masih ada,” katanya.


KEMEWAHAN rumah Busu Dolah dilihat dari aspek seni bina
tradisional dan ukiran kerawang yang halus buatannya.


Upah 10 sen sehari

Bercerita lanjut tentang ukiran yang menjadi penyeri kediamannya, Busu Dolah memberitahu, sekeping ukiran kayu mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan.

“Arwah datuk mengupah orang kampung untuk mengukir kerawang dengan motif flora dan geometri dengan upah 10 sen sehari.

“Diukir menggunakan pahat dan penukul, hasil kerja tangan ini memang halus buatannya,” ujarnya.

Selain untuk tujuan hiasan, kepelbagaian ukiran berlubang di atas jendela, muka pintu dan dinding turut menggalakkan kemaskan udara dan cahaya ke dalam rumah.

Memetik kata-kata Penolong Pengurus Projek, Badan Warisan Malaysia, Intan Syaheeda Abu Bakar, ukiran penuh kerawang bukan sahaja dipandang sebagai aksesori tetapi turut menunjukkan status pemilik rumah.

“Boleh jadi juga,” pintas Busu Dolah. Suatu masa dahulu, arwah datuknya merupakan peniaga yang cukup disegani.

“Selain mempunyai tanah bendang yang luas, beliau turut dikenali sebagai pengeksport telur ikan terubuk Melaka ke Thailand.

“Beliau juga menghasilkan baja sawah daripada tulang lembu yang dibakar dan ditumbuk sebelum dijual kepada penduduk kampung,” ujar Busu Dolah lagi.

Meneliti reka bentuk rumah yang berusia lebih seabad ini, identiti rustik, canggih dan bistari yang diserap melalui teknik pembinaannya nyata masih relevan untuk dipraktikkan dalam seni bina masa kini.

Selain berfungsi sebagai tempat berlindung, binaannya tidak lari daripada perincian khusus bagi memastikan keselesaan penghuni tanpa melupakan pengaruh adat dan alam.

“Serambi adalah bahagian hadapan rumah di mana tuan rumah menyambut kedatangan tetamu.


KEUNGGULAN seni bina dan rekaan Melayu tradisi Melaka ini 
masih kekal biarkan ia telah didiami selama empat generasi.

“Jika ada yang bermalam di sini, kaum lelaki akan tidur beramai-ramai di serambi sementara anak dara akan berehat dan tidur di loteng atas rumah,” ujar isteri Busu Dolah, Zainab Mat Yasin, 51.
Rumah ini pada asalnya memanjang ke belakang dan tidak mempunyai rumah bawah.
Namun, selepas lebih 70 tahun digunakan, bahagian dapurnya dibuka dan diganti dengan rumah bawah yang dibina menggunakan batu.
“Kos untuk membaiki rumah kayu sangat tinggi, lagipun rumah asal mempunyai sebuah bilik sahaja,” tambah Busu Dolah.

Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my

********************************************************************************************

Legasi Kampung Morten
Kampung tradisional Melayu ini seperti muzium hidup



RAMAI pelancong yang melawat Kampung Morten menganggap kampung tradisional Melayu ini sebagai muzium hidup.

Ini tidak menghairankan kerana ramai penduduk kampung itu masih mengamalkan cara hidup lama, di samping mempamerkan keunikan reka bentuk rumah mereka.

Kampung Morten yang diambil sempena nama seorang Pesuruhjaya Tanah Inggeris, Frederick Joseph Morten, mempunyai 85 buah rumah termasuk 52 rumah tradisional Melaka.

Morten dipercayai memainkan peranan penting bagi membina kampung itu pada tahun 1920-an, sementara pengasasnya dikenali sebagai Allahyarham Othman Mohd Noh.

Kampung itu terletak di kawasan paya yang diliputi hutan pokok nipah di pinggir Sungai Melaka.

Kampung Morten merupakan satu-satunya kampung Melayu di bandar bersejarah Melaka yang masih memiliki identiti tersendiri. Antaranya reka bentuk rumah, cara menghias rumah dan landskapnya.

Rumah tradisional Melaka dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu bercirikan bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin.

Tangga batu merupakan ciri-ciri utama, di samping ukiran kayu di bahagian serambi yang unik. Halaman rumah tradisional tersebut biasanya dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga.

Ini menjadikan Kampung Morten begitu istimewa dan berupaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Pengunjung berpeluang melihat kesemua deretan rumah tradisional yang tersusun dari segi bentuk bumbung, tangga dan hiasan dalaman. Ia seolah-olah membawa pengunjung kembali ke zaman kerajaan Melayu Melaka.

Kampung Morten mendapat perhatian penuh kerajaan Melaka dan diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada tahun 1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan pusat tarikan pelancong.

Kini, perkampungan itu dikelilingi bangunan moden dan aliran air Sungai Melaka yang bersih dengan kedua-dua tebing sungai diperindah oleh kerajaan negeri.

Mereka yang menaiki Melaka River Cruise, berpeluang menyusuri kira-kira empat kilometer di sungai berkenaan, tentunya terpegun melihat rumah tradisional Melayu yang terdapat di kampung tersebut.

Villa Sentosa

Sekali imbas jika melihat deretan rumah tradisional Melayu Melaka di kampung itu, tiada siapa menyangka terdapat sebuah rumah yang masih menyimpan khazanah Melayu Melaka yang berusia lebih setengah abad.


ORANG RAMAI dan pelancong menyusuri Sungai Melaka dengan bot River Cruise

Khazanah itu tersimpan di Villa Sentosa, dan tidak lengkap lawatan pelancong ke kampung ini, jika tidak singgah di Villa Sentosa.

Villa Sentosa yang terletak di pinggir Sungai Melaka dibina oleh Othman ketika beliau membuka kampung berkenaan pada tahun 1920.

Kini, setelah sembilan generasinya menduduki kediaman tersebut, ia masih lagi mengekalkan tradisi yang ditinggalkan dan penghuninya terus menjaga warisan berkenaan.

Villa Sentosa juga dikenali sebagai The Living Museum. Rumah itu diubahsuai menjadi muzium peribadi dan dirasmikan pembukaannya pada 11 Disember 1991. Villa Sentosa kini diuruskan oleh waris generasi itu, Abdul Rahim Hashim, 58.

Abdul Rahim berkata, Villa Sentosa memiliki reka bentuk rumah yang unik dan menghimpunkan pelbagai bahan sejarah seperti pakaian tradisional Melayu, alat muzik tradisional serta perabot antik.

Pengunjung juga berpeluang mengenali generasi Hashim Abdul Ghani iaitu bapa Abdul Rahim melalui gambar keluarga yang digantung di dalam bilik pengantin.

Menurut Abdul Rahim, bilik berkenaan digunakan untuk majlis perkahwinan oleh waris keluarganya. Di ruang hadapan Villa Sentosa tergantung sebuah lakaran carta salasilah keluarga sembilan generasi itu.

Selain itu, 14 tingkap di dalam villa berkenaan membolehkan udara segar sentiasa masuk sehingga kipas angin atau pendingin hawa tidak diperlukan.


RUMAH milik Abdul Rahim Hashim di Kampung Morten dijadikan muzium

Villa tersebut juga menyajikan himpunan piring hitam era 50-an, selain pameran senjata tradisional seperti tekpi yang berusia 100 tahun, pinggan mangkuk berusia 100 tahun dari China, England, Itali dan Perancis.

"Dalam usaha mempromosi Villa Sentosa, kami turut mengadakan persembahan kebudayaan, nyanyian dondang sayang dan joget lambak.

"Persembahan ini diadakan sekali setiap bulan," kata Abdul Rahim. Beliau berkata, pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran dan anggota keluarganya juga bersedia memberi penerangan kepada pengunjung.

"Kami tidak mengenakan apa-apa bayaran, memadai dengan menderma untuk tabung keluarga ini bagi membantu kami membaiki dan menaik taraf Villa Sentosa," katanya.

Villa Sentosa dibuka kepada pengunjung pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali Jumaat dibuka pada pukul 2 hingga 6 petang. - Bernama

Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my

********************************************************************************************

Rumah Tradisional Bukit Palah
RUMAH Tradisional Bukit Palah kini menjadi tarikan pelancong dalam dan 
luar negara yang ingin melihat keunikan rumah tradisional Melaka.

MELAKA 26 Nov. - Selain tempat bersejarah di Banda Hilir yang menjadi destinasi mesti lawat bagi pelancong ke Melaka, rumah-rumah kampung tradisional Melayu yang indah dan unik di negeri ini juga merupakan produk pelancongan yang menarik untuk dilawati.

Kebersihan dan keindahan rumah tradisional yang mempunyai landskap yang menarik menjadikannya tarikan kepada pelancong, khususnya bagi mereka yang cintakan keindahan seni bina Melayu lama.

Salah satunya yang lebih menyerlah adalah rumah tradisional Melayu Bukit Palah yang menjangkau usia 90 tahun, kini dihuni oleh pewaris yang terdiri daripada anak-anak pemilik asalnya, Hamid Sidek dan Hasnah Hasan.

Selain landskapnya yang menarik dan bersih, keunikan rumah tradisional Melayu Bukit Palah ini ialah kerana ia masih mengekalkan ciri-ciri seni bina rumah tradisional dengan atapnya yang tinggi dan bertangga batu.

Menurut salah seorang anak pasangan itu, A. Rahman Hamid, 55, biarpun masa telah berubah dan kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia, namun kesemua mereka sembilan beradik telah diberi amanat agar sentiasa memelihara nilai asli rumah pusaka mereka itu.

''Arwah bapa yang bersungguh-sungguh ingin menjadikan rumah ini sebagai rumah tradisional, anda boleh lihat sendiri, dia mengukir hampir semua bahagian rumah dengan corak asli Melayu pada tingkap dan bumbung rumah.

''Ada yang selebihnya, kami usahakan bersama-sama adik-beradik lain demi mematuhi pesanan arwah bapa selepas dia meninggal beberapa tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, selain ukiran dan seni bina tradisional, rumah tersebut juga dihiasi dengan pelbagai barangan antik yang dikumpul oleh bapa mereka dan kini diwarisi oleh anak-anaknya yang lain.

''Bagi menambah koleksi barangan antik milik bapa, saya akan mencari ke merata-rata tempat untuk membeli barang antik semata-mata mahu meningkatkan keistimewaan rumah pusaka ini," katanya.

Kata A. Rahman, bapanya mendapat idea untuk menjadikan rumah itu sebagai rumah tradisional Melayu bermula sekitar tahun 2001 apabila ia sering mendapat kunjungan dan lawatan pelancong asing yang tertarik dengan kebersihan serta keindahan lanskap rumah di situ.

Ujarnya, akibat ketiadaan sumber kewangan yang cukup, bapanya menyatakan hasrat tersebut kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang kemudiannya tanpa berlengah lagi mengarahkan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) menjalankan kerja-kerja pemugaran rumah tersebut agar menjadi lebih menarik.

''Setelah beberapa tahun dijadikan sebagai rumah tradisional Melayu dan selepas menjalani beberapa kerja-kerja pemugaran, keaslian rumah ini tetap terpelihara, jika anda lihat bangunan rumah ini berwarna kuning, begitulah keadaannya sejak lebih 90 tahun lalu," katanya.

Dia turut melahirkan harapan agar pihak berkuasa terbabit dapat menyediakan kawasan tempat letak bas pelancong yang lebih sesuai di kawasan itu berbanding pada masa ini, pemandu terpaksa meletakkan kenderaan di tepi jalan sehingga kadang kala membahayakan keselamatan pelancong.

Sementara itu, menurut adik perempuannya yang juga penjaga rumah itu, Zainab Hamid, 50, hampir setiap hari rumahnya itu didatangi pelancong asing dari pelbagai negara semata-mata ingin melihat keindahan dan keunikan seni bina rumah tradisonal Melayu.

''Bagi memastikan landskap dan kawasan rumah sentiasa bersih, saya perlu membersih dan memastikan keadaan rumah sentiasa terjaga, lagi pun, inilah pesan arwah bapa buat kami adik beradik.

''Bapa mahu rumah pusaka ini terus kekal menjadi rumah tradisional dan tidak sesekali kami mengubahnya menjadi rumah biasa atau rumah moden, agar keasliannya terus terpelihara sehingga satu generasi ke generasi berikutnya," katanya.

Rumah pusaka itu, kata Zainab, selain menjadi tumpuan pelajar universiti menjalankan kajian mengenai seni bina rumah tradisi, ia juga pernah dijadikan lokasi penggambaran untuk video klip beberapa artis terkenal tanah air termasuk Siti Nurhaliza untuk album Cindai.

Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my

********************************************************************************************

Keunikan Rumah Kayu Melaka

RAHIMAN Tompang menunjukkan salah sebuah bakul antik peninggalan keluarganya


Rata-rata pelancong asing ini tertarik dengan keunikan cara hidup dan budaya masyarakat Melayu serta keindahan reka bentuk rumah Melayu Melaka yang jelas dilihat di Malacca Kampung House yang terletak kira-kira 5.6 kilometer dari bandar Melaka.

Pemilik rumah berkenaan, Rahimah Tompang, 49, berkata, sejak dibuka kepada pelancong pada bulan Mei 1998, hampir 5,000 pelawat asing dan tempatan telah mengunjungi rumah tersebut.

Kebanyakan mereka yang datang dari Eropah, Asia Timur dan Amerika Syarikat dapat menyaksikan sendiri cara hidup dan budaya masyarakat Melayu di negara ini.

"Melalui lawatan itu mereka lebih memahami dan mengetahui adat resam, kebudayaan dan kehidupan keluarga Melayu,'' katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Di rumah yang berusia hampir 100 tahun itu, para pelancong berpeluang menyaksikan keindahan reka bentuk rumah Melayu Melaka yang terdiri daripada serambi, rumah ibu dan dapur.

"Mereka juga berpeluang menyaksikan barang-barang untuk upacara perkahwinan masyarakat Melayu seperti pelamin, bilik pengantin, barang-barang hantaran dan pakaian pengantin.

"Mereka boleh juga memakai pakaian pengantin yang disediakan untuk dirakamkan sebagai kenangan,'' katanya.

Rahimah yang merupakan ibu kepada 14 orang anak memberitahu, pelancong juga merasa seronok apabila diberi peluang mencuba memakai kain pelikat dan kain batik.

Selain barangan pengantin, rumah tersebut juga mempamerkan barang-barang antik seperti tempat bara, seterika lama, pinggan mangkuk lama, pengisar beras, tempayan dan sebagainya.

Di luar rumah pula, selain pelbagai pokok bunga, Rahimah turut menanam tumbuhan yang digunakan untuk masakan kaum Melayu seperti lengkuas, daun pandan dan pelbagai jenis ulam-ulaman.

Menurutnya, usaha mempertahankan rumah tradisional itu adalah sejajar dengan langkah kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan di negeri ini.

Rahimah berharap mendapat bantuan daripada kerajaan untuk menambah koleksi barangan antik seperti replika rumah Melayu Melaka dan gong untuk dipamerkan di rumah tersebut.

Sementara itu, seorang pemandu pelancong yang sering membawa pelancong ke rumah itu, A. Shanti, 31, berkata, kebanyakan pengunjung kagum dengan kehidupan masyarakat Melayu dan perpaduan penduduk Malacca Kampung House.

"Mereka juga terkejut melihatkan saya yang berbangsa India begitu memahami cara hidup kaum Melayu dan mampu memberi penjelasan kepada mereka.


"Menurut mereka, ini jauh berbeza dengan maklumat yang mereka terima sebelum ini yang menyatakan rakyat negara ini tidak hidup dalam harmoni,'' katanya.

Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my

********************************************************************************************